Lebih 56,000 Mangsa Banjir Berada di PPS Lima Negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Seramai 56,159 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat pagi ini dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Di TERENGGANU, situasi banjir tidak menunjukkan petanda lebih baik apabila angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 melibatkan 10,401 keluarga berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga malam tadi dan semua mereka ditempatkan di 310 PSS yang beroperasi di semua lapan daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Kemaman menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 12,000; diikuti Besut (8,228); Hulu Terengganu (6,691); Setiu (3,988); Dungun (2,484); Kuala Nerus (1,521); Kuala Terengganu (1,900) manakala Marang (980).

Hujan lebat dilaporkan pagi ini.

Di KELANTAN, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi ini, berbanding 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam tadi.

Sebanyak 106 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, lapan sungai utama melepasi paras bahaya antaranya Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 41.57 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.01 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.80 m).

Sementara itu, di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti semalam iaitu 934 orang dan mereka berada di 11 PPS di dua daerah iaitu di Kuantan serta Raub.

Sungai Keratong di Rompin masih berada di paras bahaya pagi ini, manakala dua lagi sungai direkodkan pada paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Jabatan Meteorologi meramalkan semua daerah di Pahang akan mengalami hujan pada pagi ini.

Sumber:  BERNAMA