Lebih 6,000 Pati sudah dihantar pulang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Imigresen sudah menghantar pulang seramai 6,013 pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara asal dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan yang membabitkan kos hampir RM100 sehari bagi menanggung seorang Pati di negara ini.

“Ini tidak termasuk kos bagi menghantar pulang mereka… dengan penghantaran pulang ini, kita berjaya selamatkan duit kerajaan. Setakat ini, masih ada kira-kira 18,694 pendatang lagi di depot tahanan kita.

“Selain itu, seramai 3,581 Pati telah ditahan bermula 1 Januari hingga Ahad lalu dengan 285 daripada jumlah itu membabitkan tangkapan di Pahang,” katanya ketika berucap sempena Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Imigresen Pahang Muhammad Hatta Kassim.

Ismail juga berkata, setakat 21 Mac lalu, sejumlah 82,340 petugas barisan hadapan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri sudah menerima vaksin.

Beliau turut memaklumkan kadar pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 yang dicatatkan di Pahang ialah 95 peratus.

Sumber: My Metro