Lebih 80,000 pengunjung hadir Jelajah AKM Sarawak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter


KUCHING — Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sarawak yang berakhir hari ini menarik kehadiran lebih 80,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya ini menunjukkan sambutan baik daripada Keluarga Malaysia warga Sarawak kepada program di Dataran Perayaan Petra Jaya itu, yang mencerminkan bahawa apa yang dihasratkan kerajaan iaitu semangat kebersamaan dan keterangkuman, jelas dihayati oleh penduduk negeri.

“Jelajah AKM Sarawak dapat sambutan begitu baik sekali dalam semua aspek sama ada dari segi jualan murah, pameran termasuk juga kenduri rakyat,” katanya ketika ditemui di majlis Perasmian Penutupan Jelajah AKM Sarawak di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan ia turut dihadiri oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa menteri kabinet persekutuan dan negeri.

Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula Jumaat lepas, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bentun bantuan dan perkhidmatan.

Sementara itu Pengarah Seksyen Program Strategik Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama  (SEPADU) Datuk Azlan Johar berkata Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia menjadi antara tarikan utama pengunjung dengan lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan bagi karnival itu sepanjang tiga hari jelajah berlangsung.

Katanya SEPADU, yang merupakan Sekretariat Utama bagi program itu berharap semangat Keluarga Malaysia terus diterapkan dalam edisi jelajah AKM seterusnya yang bakal diadakan di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang, sebelum acara kemuncaknya di Putrajaya hujung November ini.

“SEPADU merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kita berkolaborasi dengan kementerian lain bagi menjayakan jelajahnya,”katanya kepada Bernama.

 — BERNAMA