Lebih 90% kes Covid-19 pada kategori satu dan dua

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Walaupun jangkitan Covid-19 di Kelantan mencatatkan jumlah empat angka, namun kurang daripada 10 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, lebih 90 peratus kes membabitkan jangkitan kategori satu dan dua.

Katanya, kes itu direkodkan dalam masa 14 hari ini, di mana dapat dilihat kes jangkitan Covid-19 teruk semakin berkurangan.

“Individu yang dijangkiti Covid-19 bagi kategori tiga hingga lima kebanyakan adalah mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap dos vaksinasi.

“Mereka yang divaksin kalau terkena jangkitan, kebanyakannya berada pada kategori satu dan dua sahaja. Mereka juga masih boleh dirawat dengan rawatan biasa.

“Kes bagi kategori yang teruk juga menunjukkan penurunan. Jadi vaksin ini melindungi daripada terkena jangkitan yang lebih teruk dan boleh dirawat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, walaupun kes Covid-19 masih berada pada jumlah empat angka, namun keadaan itu masih boleh bertahan dan keperluan perubatan yang ada mampu menampung.

Katanya, bagi menampung keperluan, JKNK membuka wad untuk rawatan intensif kepada pesakit Covid-19.

“JKNK juga menarik balik kakitangan kita yang berada di luar Kelantan untuk kembali berkhidmat di negeri ini.

“Peralatan yang kita ada juga InsyaAllah mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19. Begitu juga dengan wad unit rawatan rapi (ICU) yang masih boleh menampung keperluan walaupun penggunaannya berada pada kadar 90 peratus,” katanya.

Menurutnya, kadar vaksinasi negeri ini juga dijangka meningkat dengan adanya pemberian vaksin secara ‘walk-in.’

Sumber: My Metro