RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas barangan runcit, kosmetik dan tembakau seludup bernilai RM440,950 di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Rahmat, di sini, semalam.
Rampasan berkenaan membabitkan barangan runcit bernilai RM52,959, barangan kosmetik (RM191,000) dan tembakau (RM197,000).
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, anggotanya melihat sebuah lori diparkir di ladang kelapa sawit dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati tiada pemandu di dalam lori tersebut. Anggota mengesyaki terdapat pelbagai barangan dipercayai diseludup dari negara jiran berdasarkan tulisan Siam yang tertera pada kotak terbabit.
“Anggota bertugas kemudian menunggu selama 30 minit di lokasi tersebut, namun tiada sesiapa yang memunculkan diri. Lori berserta kesemua barangan terbabit telah dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Azizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, Seksyen 7(1)(E) Peraturan-peraturan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.
“Kesemua barangan tersebut disyaki dibawa masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di Sungai Golok sebelum dipindahkan ke dalam lori dan diparkir di kawasan pendalaman supaya tidak dapat dikesan oleh penguat kuasa.
“Kita percaya kesemua barangan runcit, kosmetik dan tembakau ini untuk pasaran tempatan memandangkan mendapat permintaan tinggi dari peniaga di seluruh Kelantan,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO