MELBOURNE – Charles Leclerc membuktikan kehebatannya apabila mendahului dari awal hingga akhir untuk membantu Ferrari memenangi Grand Prix (GP) Australia dengan juara dunia Max Verstappen gagal menamatkan perlumbaan, hari ini.
Pendahulu kejuaraan dunia dari Monaco itu memulakan perlumbaan dari petak utama dan mengekalkan kedudukan itu di selekoh pertama sehingga tamat 58 pusingan di litar Albert Park.
Pemandu Red Bull, Sergio Perez pula menduduki tempat kedua dengan George Russell meraih tempat ketiga untuk pasukan yang sedang bergelut, Mercedes dan juara dunia tujuh kali yang juga rakan sepasukannya, Lewis Hamilton keempat.
“Sungguh menakjubkan, kereta ini sangat luar biasa hari ini,” kata Leclerc selepas mencatat kemenangan keempat dalam kariernya dan kedua musim ini.
“Sejujurnya, kereta hari ini sangat luar biasa. Saya melakukan kerja yang baik sepanjang hujung minggu tetapi tidak mungkin menang tanpa kereta ini. Saya sangat gembira.
“Kami baru berlumba dalam tiga perlumbaan, jadi masih awal untuk memikirkan kejuaraan lagi tetapi kami mempunyai kereta yang sangat hebat dan boleh dipercayai,” tambahnya.
Pemandu Mclarens, Lando Norris dan Daniel Riccardo menamatkan perlumbaan di tempat kelima serta keenam.
Sumber: BERITA HARIAN