LEEDS – Kesilapan Eduoard Mendy membuka jalan untuk Leeds merakam kemenangan 3-0 ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi persembahan berintensiti tinggi di Elland Road, di sini, sebentar tadi.
Brendan Aaronson memanfaatkan kesilapan Mendy untuk gol pertama tuan rumah sebelum Rodrigo menggandakan kelebihan dengan gol kedua sekali gus menggamatkan penyokong yang hadir.
Chelsea membuat pertukaran formasi dan pemain, namun jaringan jarak dekat Jack Harrison di pertengahan babak kedua memadam terus hasrat skuad The Blues untuk kembali dalam perlawanan.
Pelawat terus derita selepas pertahanannya, Kalidou Koulibaly dilayangkan kad kuning kedua dan sekali gus diperintahkan keluar padang.
Rodrigo kini meledak empat gol dalam tiga perlawanan, namun Leeds benar-benar menterjemahkan persembahan seperti yang dimahukan pengendalinya, Jesse Marsch.
Mereka kini mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan setakat ini.
Sumber : BERITA HARIAN