Lelaki beri alasan ziarah bapa rentas negeri tanpa kebenaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Padang Terap: Lelaki dikompaun RM5,000 selepas ditahan kerana merentas negeri tanpa kebenaran ketika memandu seorang diri di Jalan Perik, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, lelaki berusia 30-an itu dipercayai datang dari Arau, Perlis menggunakan laluan Jitra-Perik sebelum ditahan pada 6 petang semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan dalam pemeriksaan mengejut yang dilakukan pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki itu memberi alasan mahu menziarah bapanya, tetapi gagal mengemukakan dokumen atau surat merentas negeri daripada pihak polis.

“Berikutan itu, dia didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan dan dikompaun RM5,000,” katanya.

Katanya, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 22(b) Akta Penyakit Berjangkit (APPB) dan Perkara 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021.

Sumber: My Metro