PETALING JAYA: Tangkapan ke atas seorang lelaki warga asing yang dipercayai cuba membunuh diri di landasan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan, Sabtu lalu, membongkar satu kes pembunuhan dilakukannya di sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini, sehari sebelum itu.
Serbuan ke atas kondominium itu menemui mayat wanita terbaring dalam sebuah bilik dengan kesan 18 tikaman di beberapa bahagian badan, selain lehernya dikelar.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek lelaki berusia 30 tahun itu ditangkap polis bantuan di stesen ERL terbabit pada kira-kira jam 4.50 petang, sebelum dia diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, suspek cuba membunuh diri dengan meletakkan separuh badan di atas landasan, namun gagal selepas ERL yang datang tidak melalui landasan itu, sebaliknya di landasan bersebelahan.
“Hasil soal siasat Polis Daerah Cheras, suspek mengaku mahu membunuh diri selepas membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Cheras dan IPD Petaling Jaya kemudian menyerbu kondominium terbabit dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata pemeriksaan mendapati mangsa ditikam 18 kali di beberapa bahagian badan dengan sebilah pisau pemotong buah selain lehernya dikelar.
“Pembunuhan dipercayai berlaku antara jam 4 hingga 6 petang Jumaat lalu (sehari sebelum suspek cuba membunuh diri) dan pembunuhan bermotifkan cemburu.
“Suspek dan mangsa berusia 40 tahun baru datang dari India tiga bulan lalu dan kedua-duanya sedang menjalin hubungan sulit dari negara asal kerana mangsa mempunyai suami dan anak di India,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan tujuh individu membabitkan lima lelaki warga asing, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang mendiami unit kondominium terbabit bersama suspek serta mangsa.
Beliau berkata, pada hari kejadian, suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit lain dengan seorang daripada rakan serumah mereka menyebabkan suspek berang dan membunuh mangsa.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui pisau digunakan suspek menikam mangsa dalam tong pembuangan sampah kondominium terbabit.
“Semakan mendapati suspek dan mangsa masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong, namun kedua-duanya bekerja secara haram di negara ini.
“Suspek bekerja di sebuah restoran di Kota Damansara, manakala mangsa bekerja di sebuah salun di pusat beli-belah di Mid Valley dekat sini,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, suspek bersama tujuh individu lain kini direman tujuh hari sehingga hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: BERITA HARIAN