‘Lelaki Dakwa Terima Upah RM10 Setiap Kampit Beras Seludup’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Seorang lelaki mendedahkan dia menerima bayaran RM10 bagi setiap kampit beras seludup yang dibawanya dari negara jiran ke Kota Bharu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata kegiatan lelaki warga tempatan itu terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa kerana membawa 1,125 kilogram (kg) beras dan 225kg beras pulut bernilai RM6,075 di sekatan jalan raya Banggol Kong, di sini, jam 4.30 petang semalam.

Katanya, anggota penguat kuasa menahan sebuah kereta PROTON Saga dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak membuat pemeriksaan pada kereta berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui semua beras dan beras pulut diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang dan but kereta, disyaki diambil dari pangkalan haram yang ada di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.

“Suspek ditahan, manakala kereta dan beras serta beras pulut dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdag untuk laporan sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia 1994,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Azhari berkata, pihaknya turut merampas 1,200kg beras bernilai RM4,800 di Jalan Teluk Jering, Tumpat.

“Anggota mengesan sebuah kereta PROTON Iswara dalam keadaan mencurigakan sebelum meminta pemandu memberhentikan kenderaan, namun dia bertindak memecut laju untuk melarikan diri.

“Suspek kemudian berhenti di bahu jalan dan melarikan diri ke dalam semak dengan meninggalkan kenderaan terbabit. Usaha mengesan suspek dilakukan tetapi gagal.

“Hasil pemeriksaan menemui beras dipercayai diseludup dari negara jiran dan dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN