Lelaki dicekup bersama 6, 344 batang rokok seludup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Melaka: Tindakan berani seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok seludup di tepi jalan membawa padah apabila dia dicekup sepasukan polis di Krubong Jaya, di sini, semalam.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang oleh sepasukan polis yang melakukan penyamaran ketika menjalankan Op Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, curiga dengan keadaan lelaki itu yang berada di gerai jualannya, polis kemudian menghampirinya sebelum melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan rokok pelbagai jenama dipercayai rokok tidak bercukai.

“Hasilnya, kita merampas 6, 344 batang bersamaan 24 karton dipercayai rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa baru menjual rokok berkenaan, kira-kira seminggu.

“Dia mendakwa sudah lama berniaga di situ tetapi sebelum ini hanya berniaga buah dan baru seminggu menjual rokok.

“Lelaki itu kemudian ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam,” katanya.

Mohd Sukri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Sumber: My Metro