Lelaki Didakwa Edar Lebih 111kg Kanabis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 111 kilogram (kg) dadah jenis, awal bulan ini.

Mohd Nasir Hassan, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, namun tiada pengakuan direkodkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman sekitar 9.45 pagi pada 1 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, (Akta A 1025)(Pindaan 1998) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Mohd Nasir yang bekerja sendiri turut didakwa menggunakan dadah jenis methaphetamine sekitar 12.15 tengah hari pada 1 Ogos lepas di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Abdul Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Nov untuk sebutan semula pertuduhan pertama selain 16 Okt bagi pertuduhan kedua dan tiada jaminan ditawarkan.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang bertindak memecut kenderaannya untuk melarikan diri sehingga terbabas di tepi jalan sebelum dadah dianggarkan bernilai RM359,600 ditemukan di dalam kereta berkenaan.

— BERNAMA