Tumpat: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah sanggup meninggalkan isteri yang membonceng motosikalnya dalam usaha melarikan diri daripada polis di Kampung Padang Pohon Tanjong di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, suspek memberhentikan motosikal ditunggangnya di tepi jalan sebelum lari masuk ke kawasan semak berdekatan selepas menyedari diekori polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, terdahulu anggota yang membuat rondaan itu terserempak motosikal Modenas Kriss dinaiki dua individu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu.
Katanya, anggotanya mengekori motosikal terbabit menyebabkan suspek memecut sehingga ke Kampung Padang Pohon Tanjong iaitu sekitar dua kilometer sebelum berhenti.
“Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dengan meninggalkan isteri yang berusia 21 tahun itu bersama motosikalnya di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Razi berkata, pemeriksaan di lokasi menemui sebuah beg galas yang mengandungi 120 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,200.
Turut dijumpai dua unit telefon bimbit dan wang kertas berjumlah RM82 yang dipercayai hasil jualan dadah.
“Wanita itu ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober dan polis sedang giat mengesan suaminya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Sumber: My Metro