Lelaki Ditemukan Lemas Selepas Harung Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai mengharungi banjir dengan motosikal di Jalan Pulau Manis, Gambang di sini hari ini.

Mangsa, Gunalan MannaKatty, 38, dikatakan cuba meredah air banjir yang berarus deras sebelum dihanyutkan ke kawasan ladang sawit berhampiran.

Menurut Pegawai Operasi Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tuan Norhisham Che Mohd Nor, pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menggunakan teknik ‘water serface rescue’.

Anggota bomba membawa mayat mangsa lemas di Gambang hari ini.

“Mayat mangsa ditemukan pada jam 2.27 petang dengan jarak 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya lagi, pasukan bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Operasi diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Tuan Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali bersama 11 pegawai bomba.

Sumber: PAHANGMEDIA