Lelaki Ditemukan Mati Dengan Kesan Kelar di Leher

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – Mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di leher ditemukan di kawasan ladang sawit di Felda Kerteh 6 dekat sini, kira-kira 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Baharudin Abdullah berkata mayat yang berlumuran darah itu ditemukan dalam keadaan terbaring di ladang oleh saksi yang melalui kawasan berkenaan.

“Saksi iaitu pengurus ladang yang terkejut dan cemas melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak terus menghubungi Balai Polis Ketengah Jaya untuk membuat laporan.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa, namun tiada sebarang kecederaan ditemukan pada bahagian lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa, namun selepas siasatan lanjut mangsa dipercayai warga tempatan berusia 42 tahun.

Katanya polis sedang  menjalankan siasatan terperinci daripada semua aspek termasuk motif kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Sumber: BERNAMA