KOTA BHARU – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan ditemui lemas di Sungai Kelantan di sini pada Jumaat selepas dua hari jatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra di sini pada Rabu lalu.
Mayat lelaki berusia 43 tahun itu dijumpai pada jam 12.30 tengah hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mayat mangsa dijumpai di lokasi Pam Air Kampung Paloh di sini oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Mayat ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian disebabkan lemas.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selepas mayat dijumpai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh ke dalam Sungai Kelantan di Jambatan Sultan Ismail Petra di sini, pada Rabu.
Kejadian itu disedari seorang pengguna jambatan berkenaan pada jam 11.15 malam.
Mohd Suhaimi berkata, menurut keluarga mangsa, sebelum kejadian lelaki itu didapati berada dalam keadaan kemurungan dan berhalusinasi.
“Selain itu mangsa yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) sedang mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.
Sumber: AWANI