Lelaki Mabuk Langgar Polis di Sekatan Jalan Raya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT: Seorang anggota polis mengalami kecederaan semasa sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Kutan, Wakaf Bharu, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Konstabel Nor Azwan Adnan yang merupakan anggota dari Balai Polis Wakaf Bharu mengalami kecederaan di lengan dan tapak tangan serta dahi kanan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, semasa mangsa sedang bertugas, kereta yang dipandu suspek secara tiba-tiba memecut laju dari arah Pasir Pekan dengan memotong kenderaan lain di hadapannya.

“Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa yang ketika itu sedang membuat pemeriksaan kenderaan telah dilanggar dan tercampak ke seberang jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, anggota tersebut kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, susulan kejadian itu, suspek telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit mendapati terdapat cecair disyaki air ketum sebanyak 500 milimeter.

Amran memberitahu, hasil siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan dan tingkah laku khayal kesan daripada pengambilan pil epam dan minum air ketum.

“Suspek direman selama empat hari mulai Khamis hingga Ahad.

“Kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN