PASIR MAS: Seorang lelaki maut dipercayai digilis kereta api di Kampung Tanjung di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat.
Bapa mangsa, Hizuan Jusoh, 52, mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan adik iparnya, Aiman Abd Rashid, 20.
“Saya terus ke sana dan hanya mampu mengucap panjang melihat anak saya tak lagi bernyawa, kepalanya cedera parah.
“Saya alih tubuhnya. Bajunya basah kena embun, mungkin kejadian awal pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Hizuan kali terakhir bertemu anak ketiga daripada lima beradik itu kelmarin kerana Mohammad Aqil tinggal bersama datuknya sejak berusia 15 tahun di kampung berhampiran.
Mengakui mereka tidak berbual panjang, Hizuan berkata anaknya ceria seperti biasa tanpa menunjukkan tingkah laku meragukan.
Hizuan berkata, Mohammad Aqil dikatakan menghantar mesej WhatsApp meminta maaf kepada abangnya, Mohammad Zuhairi, 28, yang bertolak pulang ke Johor, malam tadi.
“Mereka berdua sangat rapat dan arwah meminta maaf kerana tidak sempat berjumpa sebelum abangnya pulang selepas bercuti Aidiladha.
“Landasan kereta api ini sering digunakan penduduk, mungkin ketika kejadian dia melintas landasan untuk ke rumah bapa saudaranya yang berdekatan,” katanya.
Katanya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Jelujuk, di sini.
Sumber: BERITA HARIAN