KUALA TERENGGANU – Malang tidak berbau, seorang lelaki maut akibat tersepit antara dua buah jentera penurap jalan dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi, mangsa Wan Endok Wan Salleh, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sebelum kejadian itu terdapat tiga buah jentera penurap jalan diletakkan di tepi jalan untuk digunakan bagi kerja penurapan di situ.
Katanya, mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran datang ke kawasan jentera dan bersembang dengan salah pekerja penurapan jalan yang berada di dalam jentera yang berpusing ke belakang sambil berdiri.
“Ketika mangsa sedang bersembang, seorang pekerja telah menghidupkan enjin untuk memulakan semula kerja tanpa menyedari kehadiran mangsa tersebut,” jelasnya.
“Bagaimanapun, jentera terbabit terlanggar jentera yang berada di tengah-tengah, sekali gus menyebabkan ia bergerak ke belakang dan melanggar sebuah lagi jentera.”
“Mangsa didakwa berdiri di tengah, antara dua jentera berkenaan dan telah tersepit sehingga mengalami hentakan yang kuat, kemudian mangsa mengalami kecederaan di dada dan badan,” katanya.
Namun, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, untuk tindakan lanjut.
Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: HARIAN METRO