Kuala Terengganu: Lelaki yang dipercayai kurang siuman naik hantu apabila merosakkan barangan di dalam masjid dan motosikal milik jemaah di Masjid Jamek Losong di sini, kelmarin.
Kejadian dikatakan berlaku pada 5 pagi apabila lelaki berusia 48 tahun tiba-tiba mengamuk sebaik keluar dari tandas di masjid berkenaan.
Menurut sumber, suspek yang sebelum itu sedang tidur di dalam masjid dikejutkan tukang cuci masjid berkenaan.
Katanya, suspek kemudiannya meminta izin untuk mandi di tandas namun tiba-tiba bertindak agresif dengan memecahkan cermin.
“Ketika kejadian, lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci itu sedang mandi dikejutkan dengan bunyi bising dan pemeriksaan mendapati suspek sedang mengamuk sambil di tangannya memegang gelas kaca.
“Melihat tindakan agresif suspek, tukang cuci itu cuba menghalau lelaki itu namun dia enggan beredar sebelum dibantu jemaah yang lain.
“Suspek semakin agresif apabila merosakkan rak kasut dan cermin pintu utama sehingga pecah selain turut merosakkan dua buah motosikal jemaah termasuk milik bilal.
“Suspek kemudiannya berjaya ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang datang tidak lama kemudian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan suspek dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, tiada laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan setakat ini.
Sumber: My Metro