Lelaki rosakkan kawat duri PKPD ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Seorang lelaki ditahan selepas mengaku merosakkan kawat duri yang dipasang di Kampung Kutan Tengah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan pihak berkuasa 7 malam tadi sebaik ternampak kelibatnya yang bermotosikal ingin melalui lorong tikus itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, lelaki itu yang dilihat mencurigakan segera ditahan pasukan pemantau yang menjalankan penugasan di sekitar lokasi terbabit.

“Suspek itu mengaku mengalihkan dan memijak gelung kawat duri yang diletakkan di tali air dan sudah beberapa kali melakukan pergerakan keluar masuk ke kawasan kampung berkenaan.

“Lelaki itu juga memberikan alasan ingin berulang-alik dari rumah ibunya yang berada dalam kawasan PKPD ke rumah sewanya di luar lokaliti itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Ab Rashid berkata, hasil ujian saringan yang dibuat mendapati suspek positif methampethamine dan memiliki sembilan rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.

Menurutnya lagi, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) atas perbuatan khianat, Seksyen 269 dan Peraturan 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagaimanapun kita percaya ada lagi individu lain yang melakukan kerosakan terhadap kawat duri yang dipasang di satu lagi lokasi berhampiran dan sedang mengesan suspek,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan berlaku kerosakan terhadap kawat duri dipasang pihak tentera di dua lokasi dalam lokaliti PKPD Kampung Kutan Tengah.

Terdapat kesan pijakan dan kawat duri itu dipotong menggunakan alat khas bagi membolehkan individu tidak bertanggungjawab itu melakukan pergerakan keluar masuk.

Terdahulu Ab Rashid dengan diiringi Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai meninjau lokasi pemasangan kawat duri di Kampung Kutan Tengah yang dirosakkan suspek dan sudah dibaiki kembali.

Ab Rashid berkata, pihaknya semakin mempergiatkan kawalan dan rondaan dan bermula semalam sudah menambahkan keanggotaan menjadikan 60 anggota masing-masing di dua PKPD termasuk Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor.

“Sehingga kini sebanyak 297 kompaun sudah dikenakan bermula awal tahun atas kesalahan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342,” katanya.

Sumber: My Metro