Kuala Terengganu: Bekas pembantu pentadbir kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghina beberapa tokoh agama dan pemimpin negara menerusi video di Facebook.
Tertuduh, Ahmad Farhan Mohd, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian Facebook Farhan Hazard untuk membuat penghantaran komen kepada Group Facebook Gabungan Anak Terengganu dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan daerah ini jam 5 petang pada 20 November 2020.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 berdepan hukuman denda dengan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke Balai Polis Gong Badak pada setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki membuat kenyataan jelek dan menghina beberapa tokoh agama dan pemimpin negara menerusi video di Facebook atas nama Farhan Hazard berakhir apabila ditahan polis.
Menerusi video berdurasi sembilan minit empat saat itu, suspek membuat kenyataan jelek dan menghina Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri; Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang; pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, agama Islam dan orang Melayu.
Sumber: My Metro