Lelongan keris Mohd Amar bermula, sasar kutip RM20,000 untuk Palestin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU, 17 Mei – Seperti dijanjikan, tiga bilah keris milik Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilelong kepada orang ramai bermula malam tadi, bagi mengumpul dana membantu Palestin.

Dalam hantaran Facebook beliau, Mohd Amar turut memuat naik gambar tiga bilah keris tersebut iaitu Keris Melela Lok 5; Keris Bugis Patani Luk 7 dan Keris Bugis.

Kesemua keris itu dilelong bermula pada harga RM10,000 bagi Keris Melela, RM6,000 untuk Keris Bugis Patani Luk 7 dan RM4,000 bagi Keris Bugis.

“Lelongan Amal #AID4PALESTINE 24 jam kini bermula,” demikian menurut hantaran itu.

“Dengan lafaz Bismillah, saya mulakan lelongan amal, tiga koleksi keris iaitu sebilah Keris Melela dan dua bilah Keris Bugis. Terima kasih kepada peminat seni keris dan bela diri, sahabat dan kenalan semua yang sama-sama kongsikan hasrat saya sebelum ini,” katanya.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata lelongan amal itu  dikelolakan Pertubuhan Cakna Palestin. 

“Sahabat yang berminat boleh berhubung dengan nombor-nombor yang tertera di bawah untuk membuat tawaran. Lelongan amal ini akan tamat pada 6 pagi pada 18 Mei.

“Sesiapa yang berminat boleh menghubungi melalui WhatsApp di talian 013-9300009 atau Hotline Cakna Palestin di talian 01126162010,” katanya yang menyasarkan kutipan minimum RM20,000.

SUMBER: Bernama