TEMERLOH : Pembukaan Pulau Tioman sejak pengumuman kebenaran rentas negeri Isnin lalu menyaksikan lebih 2500 orang pelancong mula membuat tempahan untuk melancong ke pulau itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, angka yang dikesan melalui aplikasi TracAPM itu bagaimana pun menuntut pelancong memastikan diri mereka lengkap divaksin dua dos dan mempunyai tempahan penginapan.
“Kita nak pastikan mereka yang pergi ke Pulau Tioman mesti ada tempat tinggal atau pun mereka telah ada reservation (tempahan) tempat untuk mereka menginap.
Itu tak boleh (kalau tak ada tempahan).. simply walk in setakat ini tak boleh sebab kalau kita nak pergi sana (Pulau Tioman) kalau tak ada (penginapan) macam mana nak tidur sebab berada di pulau. Kalau macam Genting Highlands, Taman Negara atau tempat-tempat lain then you can go to other place (boleh ke tempat lain), tapi kalau di Tioman memang kena ada tempahan penginapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di bangunan UMNO Temerloh hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, kehadiran pelancong ke negeri ini amat memuaskan dan tinjauan mendapati tempahan penginapan di lokasi-lokasi tumpuan pelancong telah habis ditempah hujung minggu ini.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutama pelancong-pelancong domestik kerana memilih Pahang sebagai destinasi pilihan untuk melancong.
“Selain daripada itu, ke semua pelancongan di negeri ini telah pun bersedia dan memastikan mereka (pemain industri) patuhi SOP kerana mereka tahu sekiranya ada kes, mereka kena kuarantin 14 hari,” katanya.
Katanya lagi, di Pahang terdapat 50,000 penempatan meliputi bilik-bilik hotel, chalet, homestay dan sebagainya dan adalah mustahil untuk pihak pelancongan mengadakan pemeriksaan di semua tempat.
“Tapi jika kita buat cek (pemeriksaan) secara rambang ada yang satu dos dan tak patuh SOP, jadi mereka akan terima lah akibat.
“Satu lagi, saya juga menggalakan pelancong buat saringan dengan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang boleh dibeli.. elok dibuat, kemungkinan pihak hotel dan resort boleh sediakan test kit tu untuk uji tetamu mereka. Ia adalah cara untuk pastikan pelancong yang datang bebas dari Covid.
“Mereka boleh datang ke Pahang tapi kena patuh SOP, jika tiada kes berlaku di tempat pelancongan dan ia akan memberi keyakinan untuk orang ramai datang melancong ke Pahang,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA