HERAT: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera akibat letupan bom kereta di barat Afghanistan hari ini.
Pihak berkuasa berkata letupan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan yang semakin meningkat terhadap orang awam di negara itu.
Jurucakap Gabenor wilayah Herat, Jailani Farhad, berkata letupan yang menyasarkan ibu pejabat polis di kota Herat sekitar jam 10 malam tadi itu turut merosakkan puluhan rumah dan kedai.
“Angka kematian akibat bom kereta di kota Herat meningkat kepada lapan orang dan 47 yang lain cedera.
“Wanita, kanak-kanak dan anggota keselamatan adalah antara yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian, mengesahkan jumlah kematian yang sama tetapi mengesahkan 54 orang cedera.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, menegaskan letupan di Herat itu tidak ada kaitan dengan kumpulan mereka.
Namun, pemberontak kumpulan itu semakin aktif di wilayah barat dan melakukan serangan baru-baru ini terhadap pasukan keselamatan kerajaan Afghanistan.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, menyalahkan Taliban dan dalam satu kenyataan, menuduh kumpulan itu ‘meneruskan perang dan kekerasan terhadap rakyat’.
Katanya, serangan terbaru itu sekali lagi menunjukkan mereka tidak berniat untuk menyelesaikan krisis secara damai. – AFP