LHDN lanjut tempoh kemuka borang nyata cukai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tarikh akhir mengemukakan Borang Nyata Cukai untuk beberapa kategori pembayaran cukai susulan lanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam satu kenyataan LHDN berkata, inisiatif itu diambil bagi memberikan lebih masa untuk menyediakan dokumen serta maklumat percukaian yang perlu diisytiharkan.

Katanya, kategori pembayar cukai yang terbabit dalam lanjutan itu termasuklah individu, perkongsian, pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu hindu (yang menjalankan perniagaan).

“Bagi kategori yang dinyatakan itu, lanjutan tarikh ialah sehingga 31 Ogos ini.

“Selain itu, bagi kategori syarikat, koperasi, perkongsian, liabiliti terhad dan amanah yang tempoh perakaunan berakhir 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020, ia akan dilanjutkan dua bulan lagi.

“Turut dilanjutkan ialah bagi kategori syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad dan badan amanah yang tempoh perakaunan berakhir 1 Januari hingga 31 Januari ini juga akan dilanjutkan dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu bagi kategori petroleum yang tempoh perakaunan berakhir 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember tahun lalu, tempoh yang dilanjutkan adalah selama dua bulan.

“Dan bagi kategori petroleum yang tempoh perakaunan berakhir pada 1 Januari hingga 31 Januari ini turut dilanjutkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.

LHDN berkata, panduan yang lebih terperinci berkenaan dengan pengemukaan Borang Nyata Cukai berkenaan berserta urusan percukaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 boleh dirujuk di portal rasminya.

Sumber: My Metro