Liga-J Terus Bantu Jepun ke Piala Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TOKYO – Jepun masih di belakang apabila Liga-J bermula 30 tahun lalu tetapi kejayaannya membantu sukan itu berkembang di negara berkenaan dan menukar pasukan kebangsaan untuk sentiasa berada di Piala Dunia.

Liga-J akan memulakan musim baharu Jumaat ini dan sudah jauh berbeza sejak pelancarannya pada 1993 yang diiringi sinaran lampu, gitar rock dan bunga api di Stadium Nasional Tokyo.

Pada musim sulungnya, ia disertai 10 pasukan dan kini 60 kelab dari serata Jepun bermain dalam tiga divisyen.

Kelab kini memainkan peranan penting dalam kumuniti setempat dan Pengerusi Liga-J, Yoshikazu Nonomura berkata “budaya bola sepak sudah mula berakar umbi di Jepun.”

“Ketika liga bermula, saya rasa orang hanya merasakan ia hiburan semata-mata,” katanya.

“Kini selepas 30 tahun berlalu, saya merasakan kami semakin hampir dengan Liga-J yang kami sasarkan.”

Liga-J membawa bola sepak profesional ke Jepun dan menggantikan pasukan milik syarikat daripada liga korporat yang lama dengan kelab mewakili kawasan kejiranan mereka.

Nama besar seperti Zico dan Gary Lineker membantu meransang liga baharu itu manakala pemain tempatan, Kazuyoshi Miura menjadi bintang besar.

Tahap yang diperbaiki itu membantu pasukan kebangsaan Jepun yang sebelum itu tidak pernah mara ke Piala Dunia.

Mereka membuat penampilan pertama di Perancis pada 1998 dan selepas itu tidak pernah ketinggalan.

Mereka juga dimahkotakan selaku juara Asia dengan rekod empat kali.

Liga-J dilihat di China sebagai sesuatu yang boleh diikuti dan bagaimana ini menyerlahkan bakat tempatan, membantu membina pasukan kebangsaan yang kuat dan memiliki kelab yang memiliki kewangan kukuh.

Kengo Nakamura, yang bermain pada Piala Dunia 2010, berkata Liga-J menjadi “asas” untuk memperbaiki pasukan kebangsaan.

“Liga-J bermula dan kami menjadi profesional, dan dengan kesedaran itu, motivasi dan kualiti pemain bertambah,” katanya kepada AFP.

Sumber : BERITA HARIAN