MADRID – Kelab-kelab pencetus penubuhan Liga Super Eropah yang diharamkan masih belum berputus asa untuk menganjurkan kejohanan itu.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez mempertahankan projek itu minggu lalu dan ia disokong rakan sejawat di Juventus, Andrea Agnelli serta bos Barcelona, Joan Laporta.
Keputusan mahkamah pada tahun depan akan menentukan masa depan projek berkenaan.
“Tidak ada kelab bola sepak dalam senarai 10 entiti paling kaya di dunia, pasti apa yang kita lakukan di Eropah tidak betul,” kata Perez.
Perez mengetuai kumpulan 12 kelab Eropah untuk projek Liga Super pada April 2021, tetapi ia hanya bertahan beberapa hari sebelum berkubur akibat desakan peminat dan pihak berkaitan.
Kelab-kelab yang tinggal dalam usaha menghidupkan liga itu sebagai pesaing Liga Juara-Juara Eropah hanyalah Real Madrid, Barcelona dan Juventus.
Projek Liga Super kembali diperkatakan pada Julai, apabila Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) didakwa menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin memberi maklum balas terhadap kenyataan Perez.
“Sekali lagi dia membuktikan yang hasratnya ialah melenyapkan semuanya, tidak ada lagi perlawanan menentang pasukan-pasukan kecil,” kata Ceferin.
Khamis lalu, Agnelli mengesahkan komitmennya untuk meneruskan projek itu dan naib presiden kewangan Barcelona, Eduard Romeu berkata mereka akan mempertimbangkan projek Liga Super.
Ia susulan kenyataan Laporta: “Liga Super adalah Liga Juara-Juara yang ditambah baik, dengan format lebih baik, ia akan menjadi kejohanan paling menarik di dunia.
“Tetapi kita akan menjadikannya Liga Super yang terbuka. Bermain antara kelab-kelab besar yang sama pasti meletihkan.
“Ia lebih sihat dan menarik jika pasukan kerdil mampu menewaskan pasukan besar.”
Sumber : BERITA HARIAN