KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) mengesahkan slot ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 selepas bergelar naib juara Liga Super 2022 dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC, 3-1, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Bermain di tempat lawan jelas tidak mematahkan semangat ‘Sang Penyu’, apabila mengejutkan tuan rumah seawal minit keempat menerusi jaringan pemain sayap lincah Faisal Abdul Halim, disusuli rembatan deras penyerang import Tchetche Kipre, untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-15, sekali gus menjadikan mereka selesa di depan menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Kipre menjadi duri dalam daging buat bekas pasukannya apabila melepaskan sepakan padu pada minit ke-73, hasil hantaran pemain simpanan Mohd Faiz Mohd Nasir, sebelum ‘Sang Kenari’ memperoleh gol saguhati menerusi pemain import Dechi Marcel, pada minit ke-88.
Kejayaan TFC itu memastikan mereka menutup kempen dengan 44 mata di belakang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 56 mata, manakala Kedah yang merupakan naib juara musim lepas, terpaksa akur di tempat kelapan liga dengan 27 mata.
Kemenangan berharga diraih anak buah Mohd Nafuzi Mohd Zain itu, menyaksikan mereka turut memintas Sabah FC yang turun satu anak tangga dengan 42 mata, selepas tumpas kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Ayam tambatan dari Brazil, Bergson da Silva memulakan pesta ‘Harimau Selatan’ apabila dengan mudah menolak masuk lorongan dari sebelah kanan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-17, sebelum sepakan percuma pemain sayap muda kebangsaan itu menerjah jaring pada minit ke-39 untuk menggandakan jaringan kedua pasukannya.
Bergson, selaku penjaring terbanyak Liga Super, terus menggamatkan penyokong tuan rumah apabila sepakan akrobatiknya pada minit ke-55, menjadikan kedudukan 3-0 memihak skuad kendalian Hector Bidoglio dan mengakhiri saingan liga dengan rekod tanpa kalah kali ini.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC mengakhiri saingan Liga Super di tangga keempat dengan mengutip 41 mata apabila tumpas 0-2 kepada Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Dua jaringan pemain tengah, David William Rowley masing-masing pada minit ke-21 dan ke-47, sudah cukup membantu pasukan kendalian Dollah Salleh untuk menduduki tempat ketujuh dengan 28 mata.
Selangor FC muncul pasukan kelima terbaik liga musim dengan 30 mata selepas terikat 1-1 menentang pasukan tercorot liga, Penang FC yang meraih hanya 11 mata selepas 22 perlawanan.
Aksi di Stadium Bandaraya di George Town menyaksikan penyerang Mohd Nor Hakim Hassan muncul penyelamat pasukan ‘Gergasi Merah’ apabila jaringannya pada minit ke-36 memadam kelebihan dimiliki Penang FC, yang membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti ketua pasukan mereka, Rafael De Freitas pada minit ke-30.
Penyerang Darren Lok pula muncul wira pasukan Petaling Jaya City FC apabila jaringannya pada minit ke-40, berjaya membantu pasukannya menang tipis ke atas finalis Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kekalahan dialami KL City, yang dibimbing jurulatih berpengalaman dari Croatia, Bojan Hodak, menyaksikan mereka mencatat 29 mata untuk berada di kedudukan keenam liga manakala PJ City FC pula di tempat kesembilan dengan 26 mata.
Sementara itu, Sarawak United juga menang tipis ke atas Melaka United FC hasil jaringan Boris Kok, empat minit sebelum perlawanan tamat di Stadium Negeri, Kuching.
Bagaimanapun, kemenangan Sarawak United tidak memberi kesan dalam kedudukan liga apabila kekal di tangga ke-11 dengan 17 mata dan hanya dibezakan dengan satu mata di belakang Melaka United, yang mencatat 18 mata di tempat ke-10.
Sumber: BERNAMA