Lilitan kapten dibuang Ronaldo bernilai RM14,600

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Belgrade: Lilitan kapten yang Cristiano Ronaldo buang di atas padang selepas berang gol kemenangannya untuk Portugal pada lewat permainan tidak dikira ketika bertemu Serbia, akan dilelong dalam usaha membantu kanak-kanak yang sakit.

Ketika kedudukan semasa terikat 2-2 di Belgrade, Ronaldo yakin dia dapat menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan selepas bola dilihat sudah melepasi garisan gol sebelum dikeluarkan oleh Stefan Mitrovic.

Namun tanpa sebarang penggunaan teknologi, gol itu tidak dikira.

Ronaldo kemudian dilayangkan kad kuning kerana melakukan protes dan selepas itu dia semakin berang apabila mencampakkan lilitan kapten di atas padang.

Salah seorang petugas di stadium mengutip lilitan itu dan pantas menghubungi saluran sukan tempatan untuk melelongnya bagi tujuan amal.

Individu berkenaan yang enggan namanya didedahkan memberitahu AFP dia mahu mengumpul dana bagi membantu seorang kanak-kanak berusia enam bulan, Gavrilo Djurdjevic yang menghidap penyakit yang jarang berlaku kepada individu lain.

“Dia membuang lilitan kapten itu tiga meter dari saya dan kemudian timbul idea bahawa ia boleh memberi peluang yang baik,” katanya.

“Saya mendapati kami boleh melakukan sesuatu yang baik untuk Gavrilo,” tambahnya.

Selepas beberapa jam dilelong, lilitan kapten itu sudah mencecah harga bidaan 3,000 euro (RM14,600).

Sumber: My Metro