Lima beradik reda kuarantin di rumah, jaga diri sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Gua Musang: “Kami lima beradik reda kuarantin di rumah dan patuh dengan arahan pihak terbabit apabila ibu bapa disahkan positif Covid-19,” kata Nor Aina Mohd Adli.

Nor Aina, 19, adalah kakak sulung kepada keluarga terbabit yang tinggal di Kampung Lembaga, di sini, dan menggalas tugas menjaga empat adiknya selepas kedua ibu bapa mereka positif Covid-19 selepas saringan, lima hari lalu.

Menurutnya, kedua ibu bapa mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Saya terpaksa kawal empat adik beradik berusia antara tiga hingga 16 tahun supaya berkurung dan tidak keluar rumah selama 14 hari.

“Kami mengambil tugas sebagai ketua keluarga dan membuat persiapan masakan setiap hari untuk adik beradik walaupun tidak seberapa.

“Alhamdulillah, kami mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak dan setakat ini simpanan makanan mencukupi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum itu, lima beradik berkenaan yang dikuarantin dalam rumahn menerima sumbangan bekalan makanan disumbangkan Majlis Belia Jajahan (MBJ).

Pengerusi MBJ, Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani datang menghulurkan sumbangan itu yang diletakkan di atas tangga rumah mereka.

Beliau berkata, pihaknya mengambil usaha itu untuk meringankan beban mereka sepanjang ketiadaan kedua ibu bapa dan mengelakkan mereka berdepan masalah termasuk kehabisan makanan.

Sumber: My Metro