KUANTAN : Sebanyak lima hingga enam siri luruan angin tropika yang boleh mengakibatkan banjir dijangka berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang diramalkan bermula pertengahan November ini.
Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) JBPM, YS. Dato’ Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah mengenalpasti enam negeri untuk diberi perhatian khusus dalam menghadapi monsun ini.
“Sepanjang tempoh Monsun Timur Laut, kita jangka akan berlaku lima atau enam siri (luruan angin tropika). Memang sebelum ini macam itu juga. Dia berlaku lima atau enam siri.
“Buat masa sekarang kita masih lagi kekal dengan ramalan Jabatan Metreologi dengan tumpuan khusus kita akan beri kepada enam negeri kerana tempoh (monsun) itu berbeza-beza. Pertamanya negeri Pantai Timur, Pahang, Terengganu, dan Kelantan.
“Dan fasa-fasa ini akan bermula secara general pada 15 November ini yang dijangka bermula fasa Monsun Timur Laut untuk Pahang dan juga Johor. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, khususnya di Sarawak kita jangka akan bermula pada Disember, jadi enam negeri ini tumpuan utama kita untuk mobilize pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang, Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Beliau berkata pihaknya mengikut rapat fenomena luruan angin tropika ini dengan memastikan komuniti dimaklumkan dan bantuan disiapkan sebelum ianya berlaku.
“Satu kerisauan kami dalam fasa-fasa ini ialah luruan tropika di mana kita lihat fenomena yang berlaku taburan hujan yang tinggi berlaku di satu dua tempat. Jadi tahun lepas, Pahang kita dah alami di Maran, dan Raub. Jadi dia datang sekejap masa hujan tapi lebih kepada kapasiti saliran itu untuk bertakung.
“Fenomena ini yang kita monitor dengan cepat dan rapat supaya tidak berlaku. Di Kuantan ini kerisauan kita dia berlaku ketika air pasang besar. Pertemuan itu kita kena tackle secepatnya. Sangat risau akan jadi macam tahun lepas.
“Baru ni kita kena di Melaka. Di Melaka tempat tu sempit tapi dia punya luruan air tinggi. Orang kampung pun tak terfikir untuk keluar kerana dia dah biasa dah. Sebelum ini air sikit. Dan itu juga yang berlaku di Raub tahun lepas. Penduduk kampung kata tak sampai sebab dah biasa dah (banjir) tapi bila terlalu tinggi tu yang menjadi kesukaran kami (untuk memindah dan menyelamat). Jadi kita pun sekarang ini dekatkan dengan komuniti supaya komuniti maklum awal. Banjir tak naik lagi tapi kita dah turunkan bot dah,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menyediakan dua pangkalan hadapan bagi pengurusan banjir iaitu di Teregganu dan Johor.
“Jadi kita dah ada pangkalan hadapan, satu di Wakaf Tapai, Terengganu untuk kita tangani pengurusan di tiga negeri di Pantai Timur, dan satu lagi di Ayer Hitam,Johor dan kita juga akan gerakkan bantuan dari Melaka dan Negeri Sembilan serta negeri lain yang tak terlibat banjir sebagai bantuan sekiranya perlu,” katanya.
Tambah beliau lagi, selain kesan luruan angin tropika, isu penggunaan tanah, pembangunan yang tidak dirancang dengan baik selain air pasang besar juga boleh mengakibatkan banjir yang teruk.
Sumber: PAHANGMEDIA