Lima individu termasuk suami isteri ditahan edar dadah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Lima individu termasuk suami isteri ditahan kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Bera, Pahang dan Ipoh, Perak pada 6 April lalu.

Kesemua mereka berusia 19 hingga 48 tahun ditahan bersama dadah, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM93,217.

Dalam tangkapan pertama, sepasukan anggota polis menahan sebuah kereta dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita di hadapan sebuah restoran makanan segera di Bera, di sini, pada 9 pagi.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan dadah disyaki syabu seberat 1,037.15 gram dan heroin seberat 4,579.34 gram di dalam kereta.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati dua suspek positif syabu dan seorang lagi positif ganja serta dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Susulan itu, polis menahan dua suspek lain di hadapan sebuah rumah di Ipoh pada 7.45 malam, 6 April lalu.

“Dalam pemeriksaan itu, polis menemukan bahan dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah serta merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 353 gram dan serbuk kafein seberat 2,690 gram.

“Saringan ujian air kencing mendapati seorang daripadanya positif morfin. Dua suspek itu, masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit memperolehi dadah jenis heroin dan syabu dari utara tanah air untuk edaran di sekitar daerah Bera, Temerloh dan Maran di Pahang.

“Sindiket ini bergiat aktif dalam tempoh dua bulan dan polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi oleh warganegara tempatan,” katanya.

Sumber: My Metro