Lima Sekeluarga Terselamat Kereta Terbakar di Genting Highlands

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Lima sekeluarga telah berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar di jalan Genting Highlands.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 tengah hari sebelum anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sejurus tiba didapati kereta jenis Hyundai Elantra terbakar di KM 2.9 dan mengundur ke KM 3.0 dengan keadaan api sedang marak.

“Operasi memadam kebakaran telah dilaksanakan dan 80 peratus kenderaan tersebut telah terbakar. Mangsa yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga kanak-kanak selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.”

Beliau berkata, bahagian enjin kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun secara tiba-tiba telah mengeluarkan api kemudian merebak ke bahagian lain sebelum pemandu tersebut memberhentikan dan meninggalkan kenderaannya di jalan raya.

Namun, terdapat sebuah video yang tular memaparkan sebuah kereta terbakar mengundur dan melanggar kenderaan lain dalam keadaan api sedang marak di jalan berbukit yang dirakam oleh orang awam.

Tambah beliau, saksi diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Kaedah 14, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59).

Sumber: BERNAMA