Liridon Harapan TFC, Steinbruckner

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok pastinya menjanjikan persaingan menarik.

Ini kerana ia bukan hanya membabitkan ‘pertempuran’ kedua-dua pemain di atas padang yang mengintai peluang ke pentas final, tetapi pertembungan itu juga membabitkan dua pengendali kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner, 57, yang mengemudi TFC manakala rakan senegaranya, Nenad Bacina, 52, membimbing KL City FC.

Strategi dan ‘DNA’ siapa yang lebih padu dalam misi memburu tiket ke pentas final piala berprestij itu ketika ini berlegar dalam kalangan kedua-dua penyokong pasukan berkenaan selepas empat kali pertembungan pada musim ini.

Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ pastinya tidak lena tidur merangka strategi lebih ampuh untuk membalas dendam kekalahan pada aksi separuh akhir Piala FA pada Jun lalu kepada skuad The City Boys itu.

Ketiadaan ‘arkiteknya’, Nurillo Tukhtasinov yang digantung satu perlawanan susulan menerima dua kad kuning pastinya dirasai bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu.

Tambah memeningkan kepalanya apabila seorang lagi perancangnya dari Filipina, Omid Nazari mengalami kecederaan hamstring dan mungkin terpaksa diketepikan.

Namun ketika ditanya persoalan itu, Steinbruckner akui beliau tidak bimbang mengenai situasi dialami dua pemain tonggaknya itu malah berkeyakinan pemain lain mampu menggalas tugas berkenaan.

“Saya sudah membayangkan beberapa nama yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan pemain kelahiran Uzbekistan itu, paling hampir ialah Liridon Krasniqi yang bermain dengan baik ketika menentang Sri Pahang FC Ahad lalu, dia mungkin bergandingan dengan Habib Haroon di bahagian tengah.

“Ini kerana saya tidak mahu mengubah begitu banyak posisi dan corak permainan melainkan apa yang saya perlu sahaja, lagipun saya begitu gembira kerana terdapat ramai pemain yang mampu beraksi dengan baik sebagaimana ketika menentang Sri Pahang FC, jadi saya tidak perlu bergantung kepada Tukhtasinov dan Nazari.

“Bagaimanapun saya harapkan pelibatan maksimum semua pemain untuk mencapai matlamat lebih-lebih lagi kami kini berkelebihan satu jaringan selain bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama bulan lalu, skuad Penyu membawa pulang bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan Ivan Mamut dan pemain sayap, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim manakala gol lawan menerusi sepakan penalti bekas pemain TFC, Kipre Tchetche.

– BERITA HARIAN