Liverpool Halang Kebangkitan Villarreal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

VILARREAL – Jurgen Klopp berkata mara ke final ketiga Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh lima tahun bersama Liverpool terasa istimewa seperti final pertama selepas pasukannya menghalang kebangkitan Villarreal.

Ketinggalan 2-0 daripada separuh akhir pertama, Villarreal mencetus kebangkitan pada aksi timbal balik di Estadio de la Ceramica hasil jaringan minit ketiga Boulaye Dia dan tandukan Francis Coquelin untuk menjadikan agregat 2-2.

Bagaimanapun Klopp memasukkan Luis Diaz menggantikan Diogo Jota ketika rehat dan ia membuahkan hasil apabila Liverpool meledak tiga kali dalam tempoh 12 minit menerusi Fabinho, Diaz dan Sadio Mane untuk kemenangan 3-2 dan 5-2 secara agregat.

“Ia terasa seperti final pertama kerana ia sentiasa amat istimewa – ia adalah pertandingan kelab terbaik di dunia. Hormat untuk Villarreal. Stadium yang hebat dan apa yang mereka lakukan di sini amat menakjubkan.

“Ia terasa amat istimewa kerana ia begitu sukar buat kami. Persembahan hebat daripada pemain-pemain. Sebelum perlawanan saya katakan yang saya tidak mahu kami mempertahankan keputusan, tetapi memburu kemenangan, dan ia berlaku di babak kedua,” kata Klopp.

Liverpool akan menanti pemenang antara Real Madrid dan Manchester City, yang akan bertemu di Santiago Bernabeu awal pagi esok dengan City mendahului 4-3.

Villarreal kendalian Unai Emery menampilkan persembahan hebat pada kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas menyingkirkan Juventus dan Bayern Munich untuk sampai ke separuh akhir.

“Saya tidak rasa kesal. Kami belajar bagaimana untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik. Ada beberapa jawapan yang kami tidak dapat cari,” kata Emery.

Sumber: BERITA HARIAN