PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool meneruskan momentum cemerlang apabila membelasah West Ham United 5-0 di Stadium London untuk melebarkan cengkaman status peneraju liga.
Perlawanan itu menyaksikan bintang The Reds, Mohamed Salah sekali lagi berada dalam prestasi terbaik apabila turut menyumbang satu gol minit ke-44 juga jaringan ke-20 selain memberi dua bantuan gol kepada rakan ketika Liverpool mengatasi The Hammers.
Bagaimanapun dalam perlawanan itu, anak buah Arne Slot terpaksa menunggu minit ke- 30 untuk membuka akaun gol menerusi Luis Diaz.
Salah kemudian meletakkan Cody Gakpo sebagai penjaring untuk gol kedua minit ke-40 sebelum bintang Mesir itu menjadikan keputusan 3-0 hasil rembatan jarak dekat untuk memimpin separuh masa pertama.
Trent Alexander-Arnold kemudian memanjangkan pendahuluan Liverpool hasil rembatan lencong minit ke-54 sebelum Salah menghasilkan hantaran umpanan untuk Diogo Jota melengkapkan kemenangan bermakna buat anak buah Slot.
Keputusan itu membolehkan Liverpool mengumpul 45 mata selepas mengharungi 18 perlawanan sambil diekori pasukan pakej kejutan, Nottingham Forest dengan 37 mata setelah bermain lebih satu perlawanan. – Sinar Harian