Liverpool Sedia Belanja Besar Sambar Nunez

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Liverpool mensasarkan Darwin Nunez untuk menjadi penyerang baharu di Anfield dan bersedia memecahkan rekod perpindahan kelab itu bagi mendapatkannya.

Pemain Uruguay itu antara bintang sedang meningkat naik dan turut menjadi sasaran Atletico Madrid serta Manchester United, namun Liverpool bertekad menandatangani Nunez walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sehingga 85 juta pound (RM468.2 juta).

Pengarah sukan baharu Liverpool Julian Ward, sedang berunding dengan Benfica dan difahamkan Nunez juga berminat berkelana ke Merseyside.

Nunez bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Sadio Mane – yang menjadi buruan Bayern Munich selepas kelab gergasi Jerman itu meningkatkan tawarannya kepada 30 juta pound (RM165.2 juta).

Liverpool bagaimanapun menolak tawaran itu buat kali kedua kerana jumlahnya masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mendapatkan Nunez.

Januari lalu Nunez menolak tawaran lumayan daripada kelab Liga Perdana Inggeris Newcastle.

Nunez, yang turut boleh beraksi di barisan tengah, menjaringkan enam gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu – dua daripadanya pada aksi suku akhir menentang Liverpool.

Persembahan pemain 22 tahun itu menarik perhatian pengendali Liverpool Jurgen Klopp.

“Lelaki yang kacak kan? Pemain yang bagus juga! Sangat bagus. Dia amat kuat, pantas, tenang dalam tindakan penyudah.

“Saya sentiasa katakan, jika dia kekal sihat, karier lebih gemilang menantinya,” kata Klopp berkenaan Nunez pada April lalu.

Sumber: BERITA HARIAN