LKIM, Nekmat Perlu Main Peranan Selesai Isu Orang Tengah – Mat Sabu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan isu orang tengah bagi memastikan harga hasil tangkapan laut lebih setimpal kepada pembeli.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, isu itu sekian lama menjadi duri dalam daging kepada rantaian bekalan hasil tangkapan nelayan dan antara faktor penyumbang harga tinggi di pasaran, terutama di bandar.

“(Terdapat) Jurang harga yang begitu ketara. Bila murah di sini (pantai) jangan kita merasa seronok sebab nelayan tidak mendapat harga yang sepatutnya, tiga kilogram (kg) pada harga RM10. Tapi kalau di pasar di Lembah Klang, ikan sekilo RM13. Di sini saya nampak peranan orang tengah masih kuat.

“Kita harap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kebangsaan akan memainkan peranan bagaimana memastikan harga yang dijual di pantai ini, lebih setimpal dengan harga dibeli pengguna di bandar,” katanya.

Mohamad (tiga dari kiri) gembira melihat hasil tangkapan nelayan ketika beliau melakukan lawatan di jeti pendaratan Kompleks PerikananLKIM sempena Program Santai Madani Bersama Nelayan hari ini. – Foto Bernama

Mohamad (tiga dari kiri) gembira melihat hasil tangkapan nelayan ketika beliau melakukan lawatan di jeti pendaratan Kompleks PerikananLKIM sempena Program Santai Madani Bersama Nelayan hari ini. – Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program santai Madani bersama nelayan di Kompleks Perikanan LKIM di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamad berkata, pada tahun ini seramai 500 nelayan akan mendapat manfaat daripada peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membaiki kediaman mereka.

“Kita lihat perkampungan nelayan, kita merasakan bahawa ekonomi mereka masih berada di tahap yang agak rendah. Bila kita lihat kepada rumah mereka, sama ada rumah itu dibuat sendiri ataupun yang dibeli, masih lagi perlu kepada pembaikan.

Terdahulu Mohamad menyantuni hampir 200 orang nelayan pada program tersebut bagi mendengar sendiri pandangan mereka untuk memperkasakan lagi industri perikanan negara. – Bernama