Lloris Mohon Maaf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NEWCASTLE – Hugo Lloris memohon maaf kepada penyokong Tottenham selepas pasukan dimalukan 6-1 oleh Newcastle, malam tadi.

Penjaga gol Tottenham itu melepaskan lima gol dalam tempoh 21 minit di St James’ Park dengan kekalahan berkenaan adalah yang terburuk bagi musim ini.

Kekalahan itu meletakkan harapan Tottenham untuk berada dalam kelompok empat terbaik yang menjanjikan tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara semakin sukar.

Mereka kini enam mata di belakang penghuni tangga keempat Manchester United yang masih mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding skuad kendalian Cristian Stellini itu.

Dalam perlawanan itu juga menyaksikan ramai penyokong Tottenham dilihat mula meninggalkan St James’ Park sebelum babak pertama berakhir.

“Ia sangat memalukan. Perkara pertama yang perlu dilakukan, kami memohon maaf kepada penyokong yang hadir dan melihat perlawanan,” kata Lloris.

“Kami tidak menunjukkan sesuatu yang baik hari ini. Kami tidak mampu menyamai prestasi pemain Newcastle, kami lambat dari setiap sudut perlawanan.

“Kami nyata ketinggalan pada babak pertama perlawanan. Babak kedua adalah kisah berbeza tetapi ia amat menyakitkan hari ini.”

Tugas kapten Tottenham di gawang digantikan Fraser Forster selepas waktu rehat babak pertama susulan kecederaan.

Forster melepaskan satu gol pada babak kedua dan pemenang Piala Dunia bersama pasukan Perancis, Lloris mengakui Tottenham bermain tanpa rasa bangga.

“Kami tidak mampu melawan. Sukar untuk menganalisa prestasi tetapi yang pertamanya kerana kurang rasa bangga,” katanya.

“Kamu boleh terkesan sekali atau dua dan kamu mengatasinya selepas itu tetapi di sini, ia sesuatu yang pelik seakan kami tidak mampu untuk bangkit semula dalam permainan.

“Kami boleh cuba mencari alasan tetapi kami terlepas pertembungan itu. Sekiranya kamu memasuki padang tanpa keinginan untuk menang pertarungan, ia menjadikannya sangat sukar. Ia sedikit huru-hara.”

Tottenham mengalami musim penuh berliku dengan pengendali Antonio Conte meninggalkan pasukan pada Mac selepas berang terhadap pemainnya yang ‘mementingkan diri’ dan budaya di kelab tanpa trofi kejuaraan sejak 2008.

– BERITA HARIAN