Lokasi Pelancongan Kembali Meriah Sempena Cuti Sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Beberapa lokasi pelancongan di daerah ini kembali sesak dan menjadi tumpuan pengunjung sebaik cuti sekolah bermula hari ini.

Tinjauan dibuat di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor mendapati kesesakan mula berlaku lebih 50 meter untuk memasuki pintu utama destinasi pelancongan itu dan 120 lot parkir penuh dengan kenderaan.

Seorang penjual perkakas dapur, Mohd Al Fadhil Mat Saud, 42, berkata, dia mula menambah stok jualan sejak beberapa hari lalu sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan pengunjung yang dijangka bertambah sekali ganda dari hari biasa.

“Sejak boleh kembali berniaga pada Oktober lalu, kami mampu bernafas lega dan keadaan itu keseronokan itu semakin dirasai apabila menjelang cuti umum.

“Untuk menyambut kedatangan yang dijangka bertali arus sepanjang cuti penggal persekolahan ini, saya membuat tambahan barangan terutama periuk yang mendapat sambutan hangat,” katanya ketika ditemui di lot kedainya di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Dasuki Din, 35, berkata, kedatangan pengunjung yang ramai sempena cuti persekolahan sudah dapat dijangka dan situasi seumpama itu sangat ditunggu-tunggu kerana sejak pandemik Covid-19, ramai peniaga di kawasan itu terjejas.

Dia yang sudah 10 tahun berniaga di situ berkata, walaupun ramai peniaga di kawasan itu turut menjual pakaian sepertinya, tapi lot kedai masing-masing sentiasa dipenuhi pembeli.

“Saya membuka kedai jam 10 pagi tadi dan sudah ramai pengunjung datang ke kawasan ini sama ada dari dalam negeri atau luar Kelantan,” katanya.

Kelihatan kesesakan orang ramai mengambil kesempatan mengunjungi di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor sempena cuti persekolahan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kelihatan kesesakan orang ramai mengambil kesempatan mengunjungi di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor sempena cuti persekolahan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seorang pengunjung, Nor Asiah Jamil, 46, berkata, dia singgah ke kawasan bebas cukai itu selepas menjemput anak perempuannya yang bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tumpat di asrama.

Dia bersama keluarga yang datang dari Perak berkata, kesempatan itu digunakan mereka untuk ke lokasi yang terkenal sebagai syurga membeli belah.

“Walau keadaan agak sesak dan sukar dapatkan parkir namun memandangkan kami datang dari jauh dan sudah ingin pulang ke Perak hari ini, kami tetap singgah dan membeli sedikit sebanyak buah tangan,” katanya.

Situasi yang sama dapat dilihat di Pantai Geting yang kelihatan seawal jam 11 pagi lagi, ramai pengunjung datang berkelah dan mengambil angin bersama keluarga serta rakan.

Pelajar Kolej Kejururawatan Kota Bharu, Nur Aisyah Mohammad, 22, berkata, dia datang bersama enam rakannya ke lokasi peranginan itu untuk bersiar sambil memanfaatkan hari cuti mereka hari ini.

“Kebetulan hari ini kami tiada kelas dan mengambil keputusan untuk ke Pantai Geting sambil mencari lokasi kedai makan yang menarik sebelum kembali semula ke kampus,” katanya.

Sumber: My Metro