Bentong: Pemandu serta kelindan lori cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ketika melalui selekoh menuruni bukit di Kilometer 17.3 Jalan Genting Highlands menghala ke Kuantan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu berlaku jam 10.10 pagi ketika lori jenis Bonded muatan satu tan itu dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu menuju ke Kerdau, Temerloh, Pahang untuk misi bantuan banjir di Pahang.
“Ketika melalui selekoh menuruni bukit, lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun bersama seorang kelindan berkenaan gagal dikawal lalu terbabas di bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala lori berkenaan hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan. Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.
“Patuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan. Pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
Sumber: My Metro