DOHA – Romelu Lukaku tidak akan diturunkan pada saingan Piala Dunia, paling tidak sehingga aksi terakhir Kumpulan F menentang Croatia, menurut sumber pasukan Belgium.
Penyerang Inter Milan itu tidak menyertai sesi latihan pertama Red Devils sejak tiba di Qatar, Jumaat lalu kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.
Pemain berusia 29 tahun itu adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium dengan 68 gol dalam 102 penampilan dan masih menjadi ‘ayam tambatan’ negara berkenaan meskipun jurulatih, Roberto Martinez mengakui yang Lukaku belum cukup cergas.
“Ia akan menjadi sesuatu yang lebih baik buat kami sekiranya dia berada bersama pasukan untuk perlawanan pertama (menentang Kanada), tetapi saya tidak boleh memberitahu bilakah dia akan kembali.
“Apa yang paling penting adalah bagaimana perasaannya. Saya berada dalam situasi sama dengannya ketika Kejohanan Eropah sebelum ini apabila saya baru pulih daripada kecederaan dan saya pasti, kita akan bersama Romelu tidak lama lagi,” kata pemain tengah Atletico Madrid, Axel Witsel.
Lukaku mengharungi 18 bulan yang penuh sukar, kembali menyertai Inter Milan secara pinjaman selepas musim yang suram bersama Chelsea.
Dia hanya diturunkan dua kali bersama Inter sejak Ogos lalu, selepas mengalami kecederaan pertama ketika tewas 3-1 di tangan Lazio.
Sumber : BERITA HARIAN