Lulus RM20 Juta Untuk Pengambilan Tanah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pengambilan tanah bagi pemindahan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di dalam bandar Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pengambilan tanah itu akan dijalankan di Bandar Baru Tunjong bagi pemindahan klinik terbabit.

Beliau berkata, pemindahan itu bagi mengelakkan kesesakan di dalam bandar dan mengurangkan densiti penduduk.

“Kita sudah luluskan RM20 juta untuk pengambilan tanah bagi pemindahan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Kota Bharu, namun pembinaannya pula memerlukan bajet baharu.

“Proses pengambilan tanah nanti akan membabitkan tiga agensi iaitu Perbadanan Bandar Baru Tunjong (PBBT), Perbandaran Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Yayasan Islam Kelantan (YAKIN),” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia peringkat Negeri Kelantan 2021 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLAN Malaysia, Jasmiah Ismail dan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

DR Izani pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Izani pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dr Izani berkata, sebelum ini beliau sudah mengusulkan cadangan supaya Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dipindahkan ke lokasi lain berikutan sering berlaku kesesakan dan masalah parkir selain mempunyai kepadatan yang tinggi.

Bagaimanapun menurutnya, usul itu dibalas oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menjawab tiada peruntukan yang mencukupi.

“Perancangan di Bandar Baru Tunjong akan dijalankan oleh syarikat swasta dan pembangunannya pula dilakukan secara kerjasama bersama kerajaan negeri,” katanya.

Dr Izani berkata, beberapa bandar di negeri ini belum mampu mencapai tahap ‘Smart City’ dan bandar rendah karbon dan masih banyak perancangan yang perlu dilakukan.

“Kita mahukan bandar selamat sedangkan masih banyak bangunan lama yang buruk dan tidak selamat selain ada yang bersaiz kecil menjadikan dan menyebabkan kepadatan,” katanya.

Sumber: My Metro