Di dalam agama Islam, tindakan berhutang adalah satu tindakan yang diharuskan terutamanya apabila berlakunya keadaan darurat. Sekiranya, seorang peminjam dibenarkan meminjam, dia wajib melunaskan hutangnya kembali melainkan jika dihalalkan. Bahkan sekiranya seseorang itu sudah mati, hutangnya masih perlu dilunaskan kerana hutang yang tidak dibayar akan menyebabkan roh tergantung di antara langit dan bumi.
“Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya. (Riwayat At-Tirmidzi)
Pernah berlaku pada zaman Baginda Nabi SAW, baginda tidak ingin mengimamkan jenazah yang berhutang melainkan setelah ada pihak yang ingin menjamin hutangnya.
Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, “Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?” Mereka menjawab, “Ya.”
Lalu baginda bersabda: “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)
Berikut adalah panduan jika ingin berhutang :
- Fikirkan tujuan utama berhutang
Hal ini adalah penting bagi memastikan kita meminjam untuk perkara yang daruriyat (keutamaan) dan bukannya hajat (keperluan). Selain itu, hutang yang ingin dipinjam perlulah berdasarkan kemampuan untuk membayarnya.
Hari ini ramai yang meminjam dari bank, ahli keluarga, saudara mara untuk perkara yang tidak penting seperti untuk perkara kemahuan seperti beg tangan mahal, alat permainan dan sebagainya. Tidak kurang juga ramai yang meninjam demi sebuah perkahwinan yang kelihatan gah. Akhirnya sikap ini membawa kepada muflis di usia muda dan keseluruhan hidup hanya akan dihabiskan dengan lingkaran pinjam dan bayar hutang.
- Bersedia mencatat nilai hutang yang dipinjam dan datangkan saksi
Adalah lebih baik bagi yang berhutang untuk mempunyai saksi yang menyaksikan hutang tersebut dan mencatat atau melakukan perjanjian bertulis bagi hutang yang dipinjam. Ia turut memudahkan para pemiutang dan penghutang untuk merujuk kembali perjanjian ini jika ada masaalah.
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang (yang diberi tempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu”. (Al-Baqarah: 282)
- Berazam untuk membayarnya dalam tempoh yang dijanjikan
Orang yang memberi hutang kepada kita telah meletakkan amanah dan tanggungjawab yang besar kepada kita untuk menunaikan hutang dalam tempoh yang ditetapkan. Justeru, apabila ada wang untuk membayar hutang, segerakan membayarnya.
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian”. (Al-Maidah : 1)
Selain itu, Baginda yang dijanjikan kesenangan oleh Allah SWT juga meminta perlindungan dari bebanan hutang. Ini kerana sabda Nabi SAW: Sesungguhnya seseorang apabila berhutang dia akan cenderung berkata dusta dan berjanji lalu mengingkarinya. – [HR Al-Bukhari]
- Sentiasa mengamalkan doa untuk melunaskan hutang
Bagi yang berhutang Baginda Rasulullah telah mengajarkan kepada kita satu doa untuk melunaskan hutang dan doa ini terdapat dalam Al-Ma’thurat iaitu:
Ya Allah,aku berlindung dengan-Mu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat kedekut dan perasaan takut juga dari bebanan hutang serta paksaan orang. – [HR Daud]