KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) boleh dianggap menerima kekecewaan berganda kerana bukan sahaja gagal menamatkan penantian 11 tahun menjulang Piala FA, malah mereka turut terlepas tiket ke Piala AFC musim depan.
Bagaimanapun dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini menghampiri kejuaraan Liga Super dan situasi itu akan membolehkan mereka beraksi di Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan, pasukan ketiga Liga Super turut berpeluang ke Piala AFC sama seperti naib juara Liga Super.
Justeru, pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain mengharapkan kekalahan di pentas akhir Piala FA itu tidak ‘berbekas’ dalam hati anak buahnya memandangkan perjuangan dalam Liga Super belum berakhir ketika ini.
“Apa yang terbaik buat kita adalah untuk fokus pada aksi Liga Super kerana sebelum ini tumpuan lebih terarah kepada Piala FA. Saya rasa kita boleh bersaing untuk kedudukan tiga terbaik.
“Penang FC menjadi aksi seterusnya dan kita perlu fokus untuk baki saingan Liga Super musim ini demi keluarga TFC,” katanya.
Buat masa ini, Terengganu FC (TFC) menghuni tangga keempat Liga Super dengan 29 mata namun ketinggalan enam mata di belakang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang ketika ini mengutip 35 mata.
NSFC beraksi lebih satu perlawanan sekali gus menyaksikan TFC boleh ‘memotong’ kelebihan enam mata itu kepada tiga mata jika berjaya menang satu perlawanan dalam tangan terbabit.
Dalam perkembangan sama, Nafuzi mengharapkan pasukan itu yang dibarisi pemain muda dapat mengambil pengajaran daripada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dalam usaha menjadi pemain yang lebih baik.
“Pengalaman yang bagus untuk pemain muda kerana berpeluang beraksi di saingan berprestij seperti final Piala FA. Bagus untuk pendedahan dan pengalaman mereka.
“Sudah tentu ini akan membantu meningkatkan lagi keyakinan mereka dan situasi ini memberikan masa depan yang baik bagi bola sepak negara,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN