Luqman dapat jurulatih baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui perlu bekerja lebih kuat bagi memikat perhatian pengurus baharu KV Kortrijk (KVK), Luka Elsner yang dilantik menggantikan Yves Vanderhaeghe minggu lalu.

Jelas Luqman, setiap jurulatih memiliki pandangan dan kemahuan berbeza mengikut acuan taktikal yang ingin diterapkan.

“Saya belum lagi berlatih dengan jurulatih baharu kerana beliau masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sini. Tapi saya dan pemain lain ada jumpa dan berbincang dengannya mengenai pasukan. Beliau minta saya berusaha lagi dalam latihan supaya dapat bersaing dengan pemain lain.

“Saya ambilnya secara positif dan sekarang saya kena usaha lagi untuk dapat kepercayaan jurulatih. Beliau ada cara tersendiri dan saya yakin beliau mampu bawa sesuatu kepada pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Vanderhaeghe yang sudah bersama KVK sejak 2018 dipecat susulan kekalahan 1-3 kepada Charleroi dalam aksi Liga Belgium yang menyaksikan KVK gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.

Tempat Vanderhaeghe digantikan oleh jurulatih berusia 38 tahun dari Slovenia itu yang menandatangani kontrak selama tiga tahun di Guldensporenstadion.

Ketiadaan Vanderhaeghe pastinya memberi kesan kepada Luqman kerana jurulatih itu sebelum ini cukup berani menyenaraikan tonggak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dalam beberapa aksi termasuk diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang RSC Anderlecht.

“Memang jurulatih sebelum ini banyak bagi peluang kepada saya. Tapi saya percaya kalau saya tunjukkan permainan dan prestasi terbaik, sudah tentu jurulatih baharu pun akan beri peluang.

“Saya nak berada dalam senarai perlawanan kerana prestasi saya dan bukan sebab lain. Jadi saya akan tingkatkan lagi usaha dan harap dapat bermain lagi,” katanya.

Sumber: MyMetro