Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin sekali lagi menarik perhatian peminat bola sepak tanah air apabila namanya tersenarai dalam skuad utama KV Kortrijk ketika berdepan sebuah kelab Divisyen Dua Liga Belgium.
Walaupun disenaraikan hanya sebagai pemain simpanan, namun situasi terbabit cukup menarik perhatian umum apabila kemampuannya semakin mendapat perhatian pengendali KV Kortrijk.
Melalui platform laman media sosial Facebook dan juga Twitter dapat disaksikan bahawa ramai peminat bola sepak Malaysia teruja melihat nama Luqman Hakim dalam skuad itu dan memberikan kata-kata semangat kepada prospek masa depan Harimau Malaya itu.
Pada perlawanan terbabit, KV Kortrijk tewas 3-4 kepada RWD Molenbeek namun jelas kemasukan Luqman memberi impak positif kepada pasukan apabila pada awalnya ketinggalan 1-3.
Walaupun pemain berasal daripada Kota Bharu, Kelantan, itu tidak menjaringkan gol, kemasukkannya pada minit 65 berjaya membantu pasukan menyamakan kedudukan 3-3 sebelum tewas dengan perbezaan satu jaringan gol.
Luqman yang mula menyertai KVK pada Ogos lalu tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila dia mencetak satu gol untuk membantu pasukan utama menewaskan BX Brussel 2-1 pada aksi persahabatan sebelum ini.
Malah, ia adalah jaringan keduanya selepas sebelum itu meledak satu gol ketika skuad B-21 KVK tewas 4-1 di tangan KRC Gent yang juga aksi persahabatan.
Sumber : Harian Metro