Lynas diberi tempoh bina PDF sehingga Mac depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) meluluskan permohonan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menangguhkan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) sehingga 2 Mac tahun depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim berkata, keputusan itu diluluskan pada 20 Ogos lalu dengan mengambil kira beberapa justifikasi selepas Lynas membuat pemohonan untuk menangguhkan pembinaan PDF itu.

Menurutnya, Lynas sebelum ini diberikan masa sehingga 2 September lalu untuk menyiapkan PDF itu, namun gagal kerana beberapa kekangan sebelum memohon diberikan penangguhan.

“Antara faktor kebenaran untuk penangguhan itu adalah kerana Lynas memerlukan masa bagi mendapatkan kelulusani tapak baharu membina PDF daripada kerajaan negeri Pahang.

“Ia disebabkan lokasi tapak cadangan bagi pembinaan PDF yang asal di Bukit Ketam, Kuantan tidak dipertimbangkan susulan isu status tanah hutan simpan di Bukit Ketam masih belum selesai.

“Bagi meneruskan perancangan pembinaan PDF di tapak baharu, kajian membabitkan pelbagai aspek teknikal dan perundangan perlu dilaksanakan semula di tapak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, kelulusan penangguhan itu turut mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan aktiviti permantauan dan makmal analisa serta kajian semula bagi penempatan tapak di tapak cadangan bagi pembinaan PDF yang baharu serta perkara-perkara berkaitan peruntukan di bawah pihak berkuasa berkenaan selain Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Menurutnya, walaupun tarikh pembinaan PDF itu dilanjutkan, Lynas masih tertakluk di bawah syarat-syarat yang ditetapkan terdahulu.

Katanya, ia membabitkan perlu memastikan PDF yang dibina hanya menempatkan residu Water Leach Purification (WLP) sedia ada dan residu WLP yang akan dihasilkan dari Lynas Advanced Material Plant (LAMP) sehingga Julai 2023.

“Pemegang lesen juga perlu memastikan bahawa loji pemecahan dan larut-lesap (cracking and leaching) di luar negara beroperasi sebelum Julai 2023 dan selepas tempoh berkenaan, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi atau Naturally Occurring Radioactive Material (NORM) ke Malaysia.

“Pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu WLP di Lynas Advanced Material Plant (LAMP) selepas pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara,” katanya.

Sumber: My Metro