TEMERLOH – “Bila lihat hujan tak berhenti selama dua hari, pengurusan madrasah arah semua pelajar pulang ke rumah, kami bersyukur kerana tindakan pantas itu dapat mengelak perkara tidak diingini berlaku,” kata Mohd Yani Arifin, 54, Pengurus Madrasah Ad-Dinniah al-Ismailiah Kampung Paya Jauh, di sini.
Dalam bencana banjir yang berlaku pada 5 Disember lalu, madrasah berkenaan yang menempatkan 110 warga emas bersama 60 orang pelajar ditenggelami air sedalam tiga meter.
Mohd Yani berkata, bencana itu menyebabkan hampir keseluruhan pondok-pondok yang menempatkan asrama pelajar rosak teruk.
“Banyak barang-barang tidak boleh digunakan. Sesetengah asrama pula, pendawaian elektrik mengalami masalah jadi kalau ada pihak yang nak membantu kami bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui pada penyerahan Misi Bantuan Yayasan Belia Malaysia (YBM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad di Pahang pada Sabtu.
Madrasah berkenaan yang sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun yang lalu itu turut menerima sumbangan tilam, bantal, selimut, barangan makanan, pelitup muka, pencuci tangan dan juga al-Quran untuk kegunaan penghuninya pada masa akan datang.
Misi berkenaan turut menghantar sumbangan ke daerah Lipis dan juga Raub.
Di Raub, sumbangan disampaikan kepada Penasihat Kelab Kami Anak Raub, Datuk Syed Ali Syed Mohammad, manakala di Lipis, sumbangan diterima oleh Penghulu Mukim Budu, Ahmad Tarmizi Muhamad Yatim.
Sementara itu, Pengerusi YBM, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, disebabkan semasa banjir terdapat masalah pengangkutan dan jalan terputus selain Covid-19 yang melarang individu dari kawasan merah ke kawasan kuning, maka YBM turun membantu selepas banjir.
“Jadi, kita berharap bantuan ini akan dapat membantu dan mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut Suhaimi, bantuan yang dibiayai oleh CIMB Islamic Bank itu diberikan kepada NGO dan pihak terbabit di kawasan setempat untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang dikenal pasti.
“Pada Februari, kami akan ke Kota Tinggi, Johor. Terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kebenaran kepada YBM untuk menghantar sendiri sumbangan untuk mangsa terlibat yang keseluruhannya berjumlah 500 orang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian